Selasa, Mac 25, 2008

Bukan Deris, Tapi Dolah Yang Keras Kepala!

Kemelut perlantikan Menteri besar Terengganu nampaknya telah menjadi satu krisis perlembagaan. Isu yang pada mulanya hanya merupakan perselisihan di antara Deris Jusoh dengan Istana telah melarat dan mengheret PM Dolah Badawi serta Kerajaan Malaysia sama. Beliau begitu tegas memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Deris. Orang faham kalau sebagai Presiden UMNO beliau berkeras hendakkan Deris menjadi Meneteri Besar. Akan tetapi, sebagai Perdana Menteri Malaysia dan kemudiannya melibatkan pula Peguam Negara, yang mengeluarkan pelbagai kenyataan, "melobi" untuk Deris dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, orang mula mempersoalkan rasionalnya.


Kenapa Deris begitu penting bagi Pak Lah sehingga mengatasi kepentingan perhubungan yang baik di antara seorang Menteri Besar dengan Istana Terengganu dan perhubungan beliau dengan DYMM Yang di-Pertuan Agong? Jelas sekali Pak Lah tidak memikirkan kepentingan rakyat Terengganu dalam hal ini. Dengan berkeras inginkan Deris Jusoh yang tidak direstui oleh Istana Terengganu menjadi Menteri Besar, apakah Pak Lah ingin melihat pentadbiran negeri Terengganu menjadi kucar kacir dan tergencat yang akan menyebabkan rakyat menanggung kesannya. Sejarah pentadbiran negeri-negeri di Malaysia telah menyerlahkan keadaan ini, di Pahang, di Selangor, di Johor dan di Kelantan semasa kekuasaan UMNO-BN.

Dalam hal ini, nampaknya bukan Deris saja yang keras kepala, tetapi Pak Lah lebih keras kepalanya! Adalah dipercayai bahawa Deris tidak akan berkeras untuk menjadi Menteri Besar Terengganu setelah pembatalan majlis angkat sumpah oleh Istana sekiranya beliau tidak mendapt sokongan Pak Lah. Dengan hanya sepatah kata daripada beliau, Deris akan akur dengan pilihan Istana. Akan tetapi, sebaliknya, dengan sokongan Pak Lah, Deris telah memaksa adun-adun Terengganu, dipercayai dengan pelbagai ugutan dicampur dengan pelbagai umpan, supaya memberikan "taat setia" mereka kepada Deris sahaja dan tidak kepada orang lain, hatta kepada Sultan. Bukan itu sahaja, Pak Lah telah menggunakan Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara sendiri dalam usahanya melobi untuk Deris.

Dalam usaha mengenakan tekanan keatas Istana Terengganu, Peguam Negara telah menyerlahkan kecelaruannya. Dalam kenyataan awal yang diterbitkannya, beliau menyatakan bahawa dalam kes Terengganu, Sultan Terengganu yang telah dipilih sebagai Yang DiPertuan Agong, berdasarkan Perlembagaan Malaysia, tidak lagi boleh mencampuri hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu, termasuk perkara yang berkaitan
dengan perlantikan Menteri Besar. Urusan pentadbiran negeri Terengganu yang ada kaitan dengan Istana hendaklah dirujuk kepada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR). Dan itulah nampaknya yang berlaku di Terengganu. MPPR, dan bukan Sultan (Yanag DiPertuan Agong), yang telah membuat keputusan melantik ADUN Kijal, Mat Said, sebagai Menteri Besar. Akan tetapi, dalam kenyataan terakhirnya, Peguam Negara menyatakan yang beliau akan mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong untuk menerangkan kedudukan undang-undang dalam hal ini, seolah-olah "menuduh" baginda memainkan peranan dalam isu perlantikan Menteri Besar.

Adalah dipercayai bahawa Istana atau MPPR mempunyai sebab yang sangat kuat untuk tidak menerima Deris Jusoh sebagai Meneteri Besar bagi negeri Terengganu. Apalah kepentingan MPPR dan Istana untuk berbuat demikian sewenang-wenagnya? Satu sebab paling utama kenapa Istana tidak dapat menerima Deris ialah "*****iness"nya yang melampaui batas. Bagaimana Istana boleh menerima seorang yang tidak menghormati tata susila dan adat istiadat dalam berkomunikasi dengan Istana? Sebab-sebab lain yang dikemukakan menambahkan lagi kemurkaan Istana terhadap Deris. Perlantikan Mat Said sebagai Menteri Besar oleh MPPR bukanlah sangat kerana beliau merupakan yang terbaik. Akan tetapi, beliaulah satu-satunya adun yang berani menerima risiko dan mengatakan "tidak" kepada Deris. Agak sukar untuk mendapat seorang adun atau ADR (Ahli Dewan Rakyat) UMNO di Terengganu atau di negeri-negeri lain yang tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Mat Said sendiri tidaklah lebih baik daripada Deris Jusoh dalam hal ini. Malah mulutnya lebih bisa daripada mulut Deris dari segi maki hamun dalam Dewan Undangan. Akan tetapi, dalam hubungan dengan Istana, Mat Said dipercayai tidaklah se"cokcy" Deris.

Bagaimana Mat said akan dapat membentuk kerajaannya, itu terserahlah kepada kebijaksanaannya. Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk melihat beliau akan berjaya berbuat demikian. 22 adun BN-UNMO Terengganu nampaknya masih kekal dengan tekad mereka menyokong Deris dan bukan Mat Said. Mat Said pula akan dibuang daripada UMNO sekiranya beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Kalau mengikut UMNO Terengganu, Mat Said sudah tidak menjadi ahli UMNO lagi. Akan tetapi, Mat Said, sebelum dan selepas mengadap DYMM Yang di-Pertuan Agong (Sultan Terengganu), nampaknya yakin akan dapat sokongan daripada adun-adun UMNO. Rayuan oleh Rasol Wahid agar Pak Lah dan Deris mengadap Sultan mungkin menuju ke arah apa yang diharapkan oleh Mat Said.

Dalam hubungan ini, PAS hendaklah mengambil sikap yang lebih berhati-hati. Mendengar cakapnya, Mat Said adalah seorang ahli UMNO sampai ke tulang sumsum. PAS jangan cepat melatah, menari mengikut gendang paluan Mat Said lantas masuk ke dalam perangkap. PAS perlu memikirkan kepentingan rakyat Terengganu, bukan sahaja untuk tempoh terdekat, tetapi juga untuk jangka panjang. PAS jangan terjadi seperti kata pepatah laksana orang yang "melepaskan anjing tersepit di celah pagar" atau menjadi seperti tebu, "habis manis, sepah dibuang". Adalah diyakini dan dipercayai, pimpinan PAS lebih bijak dalam menghadapi kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu kali ini. Walau pun PAS boleh dan wajar berdiri di belakang Istana dalam kemelut ini, tetapi perlu juga disedari bahawa perlantikan Mat said sebagai Menteri besar oleh MPPR hanyalah kerana itulah pilihan terbaik yang ada demi kebaikan pentadbiran negeri Terengganu dan rakyatnya. Rakyat mempunyai pilihan yang lebih baik daripada itu. Wa Allah a'lam.

1 ulasan:

Ashwaq berkata...

nice entry aba...hehehe...semangat dah update blog sekarang...hehe...hopefully everything will go well in Terengganu..kalau tak kesian je kat rakyat...baik istana wat pilihan raya semula..haha...kenape Istana tak lantik MB dari orang PAS kalau tade sangat orang BN-UMNO yang berkualiti...hehehe....baru macam cool kan?..my friend's father said that the opposition, PAS PKR and DAP should stop thinking macam opposition party anymore...tapi think like an alternative government...which is betullah kan...dengan keadaan kat Malaysia sekarang nih...anytime je BA boleh naik...kene ready2...hehehe...^_^