Selasa, Februari 15, 2005

Renungan bersama

Menonton rancangan TV mengenai kehidupan buaya di sebuah sungai di Afrika baru-baru ini sungguh menarik perhatian dan mengundang renungan. Buaya-buaya di sini yang terkenal buas boleh dikatakan hanya "makan besar" sekali setahun, apabila tiba musim kemarau dan sumber-sumber air lain kekeringan. Binatang-binatang mula mendatangi sungai untuk mendapatkan air. Di antara binatang-binatang ini ialah gnu atau wild beast yang secara berkawan dalam jumlah yang besar turun ke sungai. Ketika inilah buaya-buaya tadi berpesta menjamu selira. Dengan sekali baham sahaja, gnu-gnu diheret ke dalam sungai dan dengan rahang yang kuat serta gigi yang tajam, mangsa-mangsa itu dipatah-patah dan dikoyak-koyakkan. Akan tetapi, apabila sudah kekenyangan, buaya-buaya ini tidak lagi mengganggu gnu-gnu yang datang ke tepi sungai untuk minum air kecuali apabila terpijak. Dan dalam keadaan ini pun, gigitan buaya-buaya itu bukanlah bertujuan untuk membunuh. Gnu-gnu tadi kemudian dilepaskan tanpa sebarang calar pada badan mereka.

Terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian dalam dokumentari tersebut. Pertama bagaimana gnu-gnu itu sebagai satu kumpulan sanggup berkorban menjadi mangsa buaya-buaya untuk membolehkan gnu-gnu yang lain minum dari sungai. Kedua bagaimana rahang buaya yang kuat dan giginya yang tajam boleh tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada gnu-gnu itu dalam keadaan tertentu. Ketiga, semua ini sewajarnya menyedarkan orang kepada kekuasaan Allah baik dalam mengatur kehidupan di dunia ini dengan menyediakan rantaian makanan yang teratur di kalangan makhluknya mau pun dalam memberikan daya kepada buaya untuk mengawal gigitannya sama ada untuk tujuan membunuh atau tidak, di sebalik rahangnya yang gagah dan giginya yang runcing. Maha suci Allah, tuhan alam semesta!