Khamis, Disember 13, 2007

BERAKHIRNYA SEBUAH MODEL!


  1. Pendahuluan

    Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan akronimnya KUSZA telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1980 di bawah satu Akta yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 1981 sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi untuk melahirkan cerdik pandai, khususnya anak negeri Terengganu, dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, dengan memiliki latar belakang pendidikan ugama Islam yang mencukupi. Ini selain daripada melahirkan cendikiawan dalam pengajian ilmu-ilmu keislaman.

    Dalam tempoh kira-kira 27 tahun, sehingga dibubarkan dengan pemansuhan Aktanya oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2007, dan diserapkan ke dalam Universiti Darul Iman (UDI, kemudiannya UDM), KUSZA telah berjaya melahirkan ribuan graduan dalam pelbagai bidang pada peringkat Diploma, setelah mengikuti pengajian selama tiga tahun pasca SPM. Diploma KUSZA bukan sahaja telah mendapat pengiktirfan daripada JPA dan pihak suwasta, malah juga oleh institusi-institusi pengajian tinggi, sama ada di tanah air mau pun di luar negara. Universiti al-Azhar di Mesir, umpamanya, menerima graduan KUSZA dalam bidang Pengajian Islam mengikuti pengajian Ijazah Sarjanamuda pada tahun dua atau tiga. Universiti Temple di Amerika Syarikat pernah menerima garduan diploma KUSZA mengikuti kursus peringkat Sarjana. Beberapa institusi pengajian pinggi tempatan juga memberi pemindahan kredit kepada graduan KUSZA dan membenarkan mereka mengikuti pengajian peringkat Sarjanamuda pada tahun dua.

    Di samping itu, KUSZA juga berusha menawarkan Ijazah Sarjanamuda melalui jalinan kerjasama dengan institusi-instidusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Di antara kerjasama yang telah berjaya diusahakan ialah dengan University of East London di United Kingdom dalam bidang Pengurusan. Sehingga awal tahun 2004, perundingan telah dibuat dengan Universiti Malaya dalam bidang ICT, Universiti Hasanuddin di Makassar, Indonesia dalam bidang Prubatan, Universiti Sains dan Teknologi di Yaman dalam bidang Pengajian Islam dan bahasa Arab dan dengan City University of Dublin, Ireland dalam bidang Kejuruteraan.


  2. KUSZA sebagai model

    Walau pun perundingan-perundingan ini tidak berakhir dengan kerjasama yang diharapkan disebabkan pertukaran kuasa pilitik di Terengganu selepas Mac 2004, kejayaan KUSZA sebenarnya amat terserlah. Nama-nama seperti Ustaz Muhammad Zawawi Yusuf, Ustaz Shukri Yusuf dan Ustaz Fauzi, sekadar beberpa nama, tidak asing lagi kepada penonton-penonton ruangan dakwah di kaca televisyen di Malaysia dan kepada program-program motivasi keislaman badan-badan korporat di tanah air. Mereka merupakan graduan-graduan Diploma KUSZA yang telah memperolehi ijazah Sarjanamuda dengan cemerlang dari Universiti al-Azhar.

    Ini semua telah menjadikan KUSZA model yang dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia. Bermula pada pertengahan tahun sembilan puluhan abad yang lepas, hampir setiap negeri di Malaysia menubuhkan institusi pengajian tinggi masing-masing ala KUSZA. Mereka mengahantar pegawai masing-masing ke Terengganu untuk melawat KUSZA dan mempelajari penubuhannya serta system pengajiannya. Di Selangor muncul Kolej Islam Selangor Darul Ehsan atau KISDAR pada tahun 1995 yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Pada masa yang hampir sama, Kerajaan Negerei Pahang menubuhkan Kolej Islam Pahang atau KIP. Di Melaka, muncul Kolej Islam Melaka. Kedah pula menubuhkan Kolej al-Insaniyyah. Pada tahun 2000, Kolej Islam Darul Ridwan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Perak.


  3. KUSZA menghadapi dugaan


    Begitu besar pengaruh KUSZA dalam arena pendidikan di Malaysia, terutama yang berkaitan dengan ugama Islam. Akan tetapi, semua itu tidak menyelamatkan institusi tersebut daripada menghadapi pelbagai dugaan. Menurut setengah kalangan, walaupun KUSZA di tubuhkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, institusi ini tidaklah mendapat sokongan padu daripada sebahagian besar pegawai-pegawai negeri dan sebahagian daripada ahli politik. Di antara lain, mereka mengemukakan peruntukan kepada KUSZA yang tidak berubah-ubah dari tahun ke tahun sebagai bukti wujudnya sikap sedemikian. Ini mungkin berpunca, antaranya, daripada perjawatan tertinggi KUSZA yang tidak terbuka kepada pegawai-pegawai negeri. Di samping itu, kemungkinan juga sebahagian orang melihatnya sebagai projek politik Menteri Besar pada masa itu. Pembubaran KUSZA dan pemansuhan aktanya dengan begitu mudah pada tahun 2007 dapatlah ditafsirkan, antara lain, disebabkan sokongan yang terbatas ini. Mereka tidak memiliki rasa sayang (attachment) kepada KUSZA dan tidak merasakan bahawa institusi itu adalah kepunyaan mereka (sense of belonging).


    Oleh hal yang demikian, kedudukan kewangan KUSZA tidaklah semantap mana, terutamanya setelah berlaku pertukaran kuasa politik yang mentadbir negeri Terengganu pada akhir 1999. Sebelum itu, sebarang kekurangan yang dihadapi oleh KUSZA dari segi kewangan dapat ditampung dengan mudah oleh kerajaan negeri, lebih-lebih lagi dengan wujudnya bayaran royalti minyak daripada kerajaan pusat. Apabila pertukaran kuasa politik berlaku dan diikuti kemudiannya dengan penamatan bayaran royalti minyak kepada Terengganu setahun kemudian, KUSZA sebagai sebuah institusi negeri bukan sahaja merasa bahangnya seperti yang dirasakan oleh kerajaan negeri, malah institusi pengajian tinggi ini telah menjadi bidak dalam percaturan politik negeri Terengganu. Di sebalik penamatan bayaran toyalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Kerajaan Persekutuan telah memberi bantuan kewaangan secara langsung kepada pihak KUSZA, tanpa melalui kerajaan negeri, walau pun KUSZA adalah di bawah kerajaan negeri. Selain bertujuan "memalukan" kerjaan negeri, tindakan ini pada mulanya telah menimbulkan sedikit ketegangan dalam perhubungan di antara KUSZA dengan kerajaan negeri. Kemudian bantuan ini telah disalurkan melalui apa yang dikenali sebagai "Wang Ihsan". Pada akhirnya, bantuan ini ditukar bentuknya dan pihak KUSZA dikehendaki mengemukakan perbelanjaannya sama ada yang berkaitan dengan penggajian atau penyelenggaraan setiap tiga bulan kepada Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu yang baru ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum sebarang bayaran bantuan dibuat. Hal ini menjadikan pengurusan KUSZA seringkali menghadapi kecemasan kerana bayaran bantuan tidak dapat diramal. Sehingga Mac 2004, umpamanya, bayaran yang berkaitan dengan penyelenggaraan tidak pernah dibuat.


    Selain daripada itu, KUSZA juga pernah menghadapi pelbagai tekanan dan kempen memfitnah dan memburuk-burukkannya. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan di bawah akta yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, status KUSZA berada dalam "kawasan kelabu" dalam konteks Akta Pendidikan Negara yang membahagikan institusi pendidikan tinggi hanya kepada awam (IPTA) atau suwasta (IPTS). Mungkin untuk mencari jalan keluar daripada keadaan ini, pada masa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berada di bawah satu bumbung, KUSZA pernah diberikan oleh Menteri Pendidikan status sebagai IPTK yang boleh diertikan sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Kerajaan (Negeri). Akan tetapi, kemudiannya, pemberian status ini telah ditarik balik. Selepas itu KUSZA setiap tahun, terutamanya selepas pertukaran kerajaan negeri pada akhir 1999, telah diminta supaya didaftarkan sebagai institusi pengajian tinggi suwasta dan diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap KUSZA dan pengurusannya.


    Berikutan dari itu, KUSZA telah diminta supaya mendapatkan kelulusan Lembaga Akreditasi Negara atau LAN bagi setiap kursus yang ditawarnya, sedangkan kursus-kursus telah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Pengiktirafan Ijazah/Diploma JPA. Begitu juga setiap kegiatan KUSZA dianggap menyalahi undang-undang, sehinggakan pengiklanan penawaran kursus-kursus KUSZA dalam akhbar-akhbar dikira sebagai menyalahi undang-undang dan pihak pengurusan pernah diberi amaran akan dikenakan tindakan undang-undang kerana hal tersebut. Pihak PTPTN pula tidak lagi memberi kemudahan pinjaman kepada pelajar-pelajar yang memasuki KUSZA dan beberapa negeri pula tidak lagi memberi bantuan zakat kepada pelajar-pelajar negeri masing-masing yang berjaya mendapt tempat di KUSZA.


    Di samping itu, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyibarkan kabar-kabar angin bahawa diploma-diploma yang dianugrahkan oleh KUSZA tidak lagi mendapat pengiktirafan kerajaan atau pihak suwasta. Ada juga yang berkempen mengatakan bahwa pelajar-pelajar KUSZA sukar untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat ijazah Sarjanamuda. Ini selain daripada isu-isu remeh yang digembar-gemburkan dalam media massa.


    Semua ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan pelajar-pelajar ke KUSZA pada tahun 2003 walau pun tidak sampai ke peringkat sehingga KUSZA terpaksa menutup program-programnya. Pada awal 2004, sebelum pilihanraya umum, berkat usaha pihak KUSZA yang membuat lawatan ke seluruh daerah di negeri Terengganu, nampaknya permohonan kemasukan ke KUSZA pada tahun tersebut hampir pulih seperti sedia kala.



  4. Palajar KUSZA


    Pelajar-pelajar KUSZA datang dari pelbagai negeri di Malaysia. Malah pada satu ketika terdapat pelajar-pelajar dari luar Negara juga seperti dari Berunai, negeri China, Thailand dan Mauritius. Pada mulanya, memandang kekurangan bilangan pelajar Terengganu di institusi pengajain tinggi tanah air berbanding pelajar negeri lain, pihak KUSZA telah mengenakan kuota bagi pengambilan pelajar-pelajar dari negeri-negeri selain daripada Terengganu. Akan tetapi, kemudiannya, polisi ini tidak dilaksanakan lagi dan pengambilan pelajar dibuat berdasarkan kelayakan masing-masing tanpa mengambil kira negeri asal mereka.


    Walau pun pihak KUSZA mengenakan syarat minimum kredit pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu didapati oleh seorang calon yang ingin memasuki KUSZA, boleh dikatakan hampir seluruh pelajar-pelajar yang memasukinya terdiri daripada mereka yang memperolehi kredit yang melebihi syarat minimum tersebut. Malah ramai di antara meereka yang diterima masuk ke KUSZA terdiri daripada pelajar-pelajar yang mendapat kecemerlangan pada peringkat SPM. Mereka memilih KUSZA kerana mereka dan ibu bapa mereka yakin dengan system pengajian KUSZA yang menitik beratkan pembinaan sakhsiyah dan moral yang tinggi berlandaskan Islam di samping aspek akademik. Bagi sesetengah ibu bapa, pengiktirafan yang diberikan oleh pihak al-Azhar yang membolehkan graduan KUSZA memasuki tahun dua atau tahun tiga peringkat ijazah Sarjanamuda dalam bidang Pengajian Islam merupakan dorongan yang kuat untuk mereka menghantar anak-anak mereka ke KUSZA.

    Pelajar-pelajar KUSZA menunjukkan minat yang mendalam dalam pengajian masing-masing. Sebahagian besar daripada mereka tidak berpada dengan diploma yang mereka perolehi daripada KUSZA dan berusaha untuk menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi tanah air atau pun di luar Negara pada peringkat Sarjanamuda. Oleh itu graduan-graduan Diploma KUSZA boleh dikatakan terdapat di semua IPTA tanah air dalam pelbagai bidang pengajian, dan bukan sahaja dalam bidang Pengajian Islam. Pada satu ketika, IPTA tanah air memberikan keutamaan kepada graduan-graduan KUSZA dalam pengambilan pelajar-pelajar mereka. Malah di UKM umpamanya, pada satu ketika mereka diterima masuk terus untuk mengikuti kursus-kursus tahun dua program Sarjanamuda Pengajian Islam dengan Kepujian. Kemudiannya, apabila sistem pengajian di university ditukar kepada tiga tahun, mereka diberi kemudahan pemindahan jam kredit yang tinggi. Di peringkat IPTA pula, mantan-mantan graduan KUSZA ini telah menunjukkan prestasi yang baik dan tinggi dalam pengajian mereka dan ada yang mendapat pelbagai anugerah daripada institusi pengajian masing-masing.



  5. Kakitangan Akademik KUSZA


    Pada masa KUSZA ditubuhkan, satu skim perjawatan akademik yang khusus untuk KUSZA telah diluluskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia yang dikenali sebagai Skim KUSZA berdasarkan skim perjawatan Institiut Teknologi MARA atau ITM. Tidak ada jawatan-jawatan Pensyarah Kanan, Profesor Madya atau Profesor seperti di IPTA dalam skim perjawatan akademik KUSZA. Semua kaki tangan akademik bergelar pensyarah dengan tangga gaji masing-masing ditentukan berdasarkan senioriti. Dari segi gaji sebenarnya, kaki tangan akademik KUSZA tidak banyak bezanya daripada guru-guru sekolah, walaupun mereka memperolehi ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah.


    Hal ini tentu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para akademik KUSZA. Akan tetapi, sebahagian besar kaki tangan akademik ini telah menunjukkan dedikasi, iltizam serta kesetiaan mereka yang sangat tinggi terhadap KUSZA. Sepanjang usianya yang melampaui satu seperempat abad, hanya segelintir sahaja daripada kalangan mereka, yang dapat dibilang dengan jari, yang memilih untuk meninggalkan KUSZA. Yang lain-lain terus gigih berkhidmat dengan KUSZA di sebalik skim yang demikian, walau pun mereka memiliki ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah. KUSZA sewajarnya berbangga dengan mereka dan menghargai jasa-jasa mereka.






  6. Berakhirnya sebuah model


    KUSZA pernah memain peranan sebagai model yang menjadi ikutan dan contoh bagi institusi-institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia seperti yang telah dinyatakan di atas. Penubuhan institusi-institusi ini, seperti penubuhan KUSZA, di buat berasaskan akta yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing. Apabila krisis status IPT seperti ini timbul dan untuk mensesuaikan kedudukannya menurut Akta Pendidikan Negara seperti yang mereka difahamkan, sebahagian besar institusi-institusi negeri ini telah bertukar menjadi institusi suwasta yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri masing-masing, seperti yang dikehendaki oleh Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan (Pelajaran) pada masa itu. Ada di antara institusi yang telah disuwastkan ini berkembang pesat menjadi Kolej Universiti seperti KISDAR yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor atau KUIS. Beberapa institusi lain yang disuwastakan masih meneruskan operasi masing-masing seperti KIP yang telah bertukar nama kepada Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau KIPSAS, atau KIM yang diberi nama baru sebagai Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka atau Kolej Islam Darul Ridwan Perak. Di anatara yang terakhir bertukar menjadi institusi pengajian tinggi suwasta ialah Kolej al-Insaniyyah di Kedah.


    Akan tetapi KUSZA berkeras dengan keputusan untuk kekal sebagai institusi pendidikan tinggi di bawah Akta Kerajaan Negeri. Buat seketika, KUSZA diberikan status sebagai IPTK, tetapi status ini telah ditarik balik kemudiannya. Dan sekali lagi status KUSZA terumbang ambing. Pada masa Terengganu di bawah pemerintahan PAS, mengingatkan tekanan yang kuat supaya KUSZA didaftarkan sebagai institusi pengajian tinggi suwasta, pernah ada suara-suara yang ingin berbuat demikian dengan harapan bahawa status KUSZA sebagai sebuah institusi kerajaan negeri yang tertua dan menjadi model kepada institusi-institusi yang serupa di negeri-negeri lain akan dapat dinaikkan tarafnya kepada sebuah Kolej Universiti. Akan tetapi, dalam suasana permainan politik (politicking) yang sengit di antara UMNO dan PAS sebelum pilihanraya umum 2004 serta tidak ada rasa saling mempercayai di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada masa itu, cadangan mensuwastakan KUSZA tidak pernah difikir secara serius. Lebih-lebih lagi keadaan kewangan tanpa royalti minyak mungkin tidak mengizinkannya. Kalau pun masaalah kewangan dapat diatasi, siapa yang berani menjaminkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan meluluskan pendaftaran KUSZA sebagai institusi pengajian tinggi suwasta, jangankan pula untuk mendapat kenaikan taraf KUSZA kepada kolej university. Oleh itu kekallah KUSZA dengan statusnya yang hanya diakui oleh Kerajaan Negeri.


    Selepas pemerintahan negeri kembali dipegang semula oleh UMNO (BN) pada pilihanraya umum Mac 2004, kedudukan KUSZA sepatutnya lebih cerah dan terjamin. Isu statusnya tidak perlu lagi menjadi persoalan utama. Dengan wujudnya perhubungan yang erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta wang royalti minyak yang disalurkan semula ke Terengganu kendatipun atas nama yang berbeza, pendaftaran KUSZA sebagai sebuah IPT suwasta tidak lagi menjadi masaalah. Malah, melihat kepada perkembangan KISDAR, adalah wajar sekiranya KUSZA dinaikan tarafnya kepada sebuah Kolej Universiti dengan mengekalkan namanya sebagai KUSZA –Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin.


    Apa yang berlaku kemudian sungguh menyedih dan memalukan. Ketika institusi-institusi yang ditubuhkan mengikut model KUSZA terus berjalan dan berkembang sehingga ada yang mencapai taraf kolej university, KUSZA pula yang menjadi model telah berkubur tanpa tanda. Penyerapan KUSZA ke dalam Universiti Darul Iman (Malaysia) pada 2007 telah melenyapkan sebab utama kewujudan KUSZA atau raison d'etrenya. Ketika institusi-institusi model KUSZA terus beroperasi dengan falsafah pendidikan berlandaskan Islam, KUSZA yang menjadi model hilang jati dirinya dan lenyap falsafah pendidikannya yang berlandaskan Islam serta motonya, Ilmu – Iman – Amal. Begitulah berakhirnya sebuah model yang sangat memilu dan memalukan.