Jumaat, Februari 22, 2008

ISLAM HADHARI DI MULTAQA SEDUNIA ALUMNI AL-AZHAR 2008

Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 18 Februari 2008 baru-baru ini telah dirancang berbulan-bulan dulu lagi. Idea awalnya dicetuskan oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir, TYT Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, seorang alumni al-Azhar. Ketika demam pilihanraya mula menular, Penasihat Ugama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, melihat ini satu peluang yang baik untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Melayu khususnya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil berat tentang agama Islam. Oleh itu satu jawatankuasa induk telah ditubuhkan dan keputusan telah diambil untuk mengadakan Multaqa tersebut sebelum pilihanraya. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, telah diberi tugas melaksanakan Multaqa ini. Imam Besar al-Azhar dan beberapa ulama’ lulusan al-Azhar dijangka akan menghadiri Multaqa tersebut. Selesai Multaqa, mereka akan dibawa ke negeri-negeri majoriti Melayu di Pantai Timur dan Utara, sekali lagi dengan tujuan untuk mengelabui mata pengundi-pengundi Melayu bahawa tokoh-tokoh Islam itu menyokong kerajaan BN.

Menurut Buku Aturcara, pada pagi 15hb, jam 10 pagi, sesi pertama akan bermula dengan pembentangan kertas-kertas kerja oleh tiga orang penal alumni al-Azhar (semuanya orang Arab), masing-masing dari Peranchis, Arab Saudi dan Mesir. Majlis perasmian akan dibuat oleh Perdana Menteri pada sebelah petangnya, selepas Jumaat. Akan tetapi, orang terkejut ketika memasuki Dewan Persidangan dan mungkin merasa tersilap dewan apabila mendapati tiga ahli penal yang berada di atas pentas pada pagi itu semuanya terdiri daripada orang Melayu alumni al-Azhar yang mereka telah biasa dan kenali. Mereka ialah Prof. Dato’ Dr Mahmood Zuhdi dari Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr Sayed Aqil al-Mahdali dari Universiti Insaniah Kedah dan Datuk Mohd Nakhaie sendiri yang semuanya tidak disenaraikan sebagai ahli penal dalam Multaqa ini. Rupa-rupanya dikatakan terdapat sedikit salah faham dalam aturcara majlis. Para ahli penal dan peserta dari luar negara, terutamanya dari Mesir, meraskan mereka tidak wajar membuat pembentangan masing-masing sebelum majlis peresmian Multaqa disempurnakan. Pada mulanya dikatakan sesi pagi Sabtu itu telah dibatalkan. Akan tetapi mengingatkan para peserta sudah datang dan maknan telah disediakan, maka mahu tidak mahu sesi pagi itu terpaksa diteruskan juga dengan ahli penal terdiri daripada muka-muka yang telah biasa itu.

Dan seperti dengan segala yang berkaitan dengan Islam di Malaysia di bawah kerajaan BN, tema Multaqa ini tidak lari daripada Islam Hadhari, walau pun “sanggul”nya telah diubah sedikit untuk mengelabui pihak al-Azhar dan peserta-peserta dari negara-negara Arab, dengan menambah perkataan pendekatan menjadikannya berbunyi “Pendekatan Islam Hadhari, Di Antara Warisan dan Cabaran Semasa”. Akan tetapi agak anih juga apabila tidak ada satu pun judul kertas-kertas kerja yang disenaraikan dalam buku acara mengandungi istilah Islam Hadhari. Menurut sumber yang dipercayai, penentuan kertas-kertas kerja itu di buat oleh pihak al-Azhar.

Sungguh pun begitu, pada sesi pertama “gantian” pagi Jumaat itu, tidak ada perkara lain yang dibincang oleh ahli penal selain daripada mempertahankan Islam Hadhari. Mahmood Zuhdi dengan cerita lamanya tentang pemahaman Islam Hadharinya, cuma kali ini dibentang dalam bahasa Arab. Kertas kerja yang dilampirkan sebenarnya tidaklah banyak sangat menyentuh tentang Islam Hadhari kecuali pada bahagian awalnya yang mempertahankan penggunaan prasa tersebut setelah dijelaskan maksudnya ialah al-manhaj al-h}ad}a>ri> - pendekatan hadhari - terhadap Islam. Selebihnya menekankan keperluan kepada perubahan yang menyeluruh dalam masyarakat Islam. Dan ini telah dijelaskan dan dikaitkan dengan Islam Hadhari atau lebih tepat lagi dengan al-manhaj al-h}ad}a>ri>. Adalah jelas bahawa Zuhdi tidak begitu selesa dengan istilah Islam Hadhari, yang dirasanya agak canggung dan salah. Lalu katanya tidak ada beza di antara ‘al-Isla>m al-h}ad}a>ri>” atau “al-h}ad}a>rah al-isla>miyyah” kerana, menurutnya, masing-masing mengandungi pemikiran yang sama ia itu Islam dan h}ad}a>rah. Akan tetapi beliau cuba mempertahankan istilah Islam Hadhari dengan alasan bahawa banyak istilah yang salah dari segi bahasa telah digunapakai dengan meluas, termasuk perkataan masjid yang menurutnya sepatutnya masjad. Zuhdi seterusnya mengatakan apalah salahnya mengguna istilah Islam Hadhari kalau di sana terdapat istilah-istilah al-Isla>m al-siya>si>, al-Isla>m al-sunni>, al-Isla>m al-shi>‘i>, al-Isla>m al-ru>h}a>ni>, al-Isla>m al-s}u>fi>, al-Isla>m al-‘aqi>di> dan seumpamanya.

Sayed al-Mahdali juga tidak jauh bezanya daripada Zuhdi dalam mempertahankan Islam Hadhari. Pada satu ketika, beliau menjelaskan bahawa istilah tersebut ialah ringkasan daripada ungkapan al-fikr al-isla>mi> al-h}ad}a>ri>. Pada satu ketika yang lain, beliau mengatakan bahawa hadhari itu adalah adjektif kepada tajdi>d atau, dalam bahasa Zuhdi, perubahan, al-taghayyur. Jadi yang bersifat hadhari ialah tajdi>d atau perubahan atau pembaharuan. Akan tetapi, al-Mahdali telah melangkah lebih ke hadapan daripada Zuhdi apabila beliau menegaskan bahawa Islam Hadhari serta sepuluh perinsipnya adalah hasil pemikiran para ulama’ dan pemimpin Malaysia. Siapakah para ulama’ tersebut? Apakah benar demikian?

Seperti yang ditulis oleh Datuk Dr Ismail Ibrahin dalam Dewan Masyarakat (Mei 2005), gagasan Islam Hadhari dikemukakan atas pelantar politik dan dilancarkan pada sempena pilihanraya. Oleh itu ia adalah satu gimik politik untuk memenangi pilihanraya, dan bukan satu gagasan yang difikirkan semasak-masaknya untuk pembangunan ummat seperti yang didakwa. Kalau ada pun ulama’ yang terlibat dalam mencipta istilah Islam Hadhari, mereka teridiri daripada ulama’ dalam UMNO seperti Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Datuk Nakhaie. Itu pun bagi mereka sendiri dan pimpinan politik yang merastuinya, istilah tersebut hanyalah satu slogan yang dikemukakan untuk PRU-11 (2004) bagi menebus kekalahan teruk UMNO dan BN dalam PRU-10 dan untuk menghadapi PAS yang berjuang di atas dasar pemerintahan Islam yang menyeluruh dengan slogannya Membangun bersama Islam. Penggunaan istilah ini dikatakan sedikit sebanyak ada kesannya dalam PRU-11 yang dimenangi oleh BN dengan majority begitu besar. Akan tetapi, factor utama yang memberi kemenangan kepada BN sebenarnya ialah penipuan secara besar-besaran yang berlaku dalam PRU tersebut. Apabila kemudiannya, istilah Islam Hadhari ini dikritik oleh banyak pihak dalam pelbagai seminar dan perjumpaan dan ditentang oleh PAS, maka barulah “pemikir-pemikir” dalam UMNO mula mencari “pengisian” bagi istilah tersebut. Maka pelbagai artikel dan buku telah dihasilkan bagi “menjelaskan” maksud Islam Hadhari dan akhirnya 10 “rukun” Islam Hadhari telah hasilkan. Akan tetapi, oleh kerana asalnya Islam Hadhari itu hanyalah satu gimik politik, dan bukan sesuatu yang difikirkan masa-masak sebelum dikemukakan, maka penjelasan yang diberikan laksana sekumpulan orang buta menggambarkan gajah. Oleh itu, mantan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Abdul Munir Yaakub, ketika menjawab pertanyaan seorang peserta dalam satu seminar penerangan tentang Islam Hadhari di IKIM pada tahun 2005, menceritakan bagaimana beliau telah di panggil oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahadhir Muhammad, bertanyakan tentang perbezaan di antara Islam di bawah pentadbirannya dahulu dengan Islam Hadhari yang diutarakan oleh penggantinya, Abdullah Badawi. Tidak memahami apa sebenarnya Islam Hadhari, Abdul Munir menjelaskan kepada Mahadhir bahawa tidak ada bezanya di antara Islam pada masanya dengan Islam Hadhari; kalau ada hanyalah sekadar perbezaan pendekatan, disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Keharubiruan tentang maksud Islam Hadhari ini ketara sekali dalam wawancara Dewan Masyarakat (Mei 2005) dengan Abdul Hamid Othman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, orang yang dipercayai menjadi pencetus idea Islam Hadhari ini. Ketika penyokong-penyokong Islam Hadhari bertungkus lumus mengaitkan istilah tersebut dengan tamadun (civilization) dan menterjemahkan istilah Islam Hadhari sebagai Civilizational Islam (yang dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai Islam yang bersifat ketamadunan), Abdul Hamid menjelaskan bahawa “Hadhari” dalam istilah tersebut berasal daripada perkataan Arab “hadir” dan hadhari bermaksud keperluan semasa, umpamanya untuk mendapatkan makanan dan membina kekuatan menggunakan sains dan teknologi. Atau dengan kata lain, Islam Hadhari , menurut Abdul Hamid, ialah Islam yang menekankan keperluan semasa dalam bentuk ekonomi dan teknologi.

Demikianlah kecelaruan yang menyelubungi istilah Islam Hadhari ini dan kepalsuan matlamatnya. Menyedari kesilapan mereka menggunapakai istilah Islam Hadhari, hari ini, keseluruhan mereka yang menjaja Islam Hadhari bersepakat mengatakan bahawa yang mereka maksudkan dengan istilah tersebut ialah Islam dengan pendekatan hadharinya atau Islam dengan pemikiran hadharinya.

Pada lahirnya pemakaian istilah-istilah ini tidaklah salah. Akan tetapi, apabila dilihat secara mendalam, istilah al-Isla>m al-siya>si>, umpamanya, digunakan oleh para penulis dan penyelidik ketika menjelaskan kegiatan gerakan-gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan pemerintahan Islam baik melalui kegiatan bersenjata atau secara damai. Para pendokong gerakan-gerakan ini sendiri tidak pernah menamakan Islam yang mereka anuti dan perjuangkan sebagai al-Isla>m al-siya>si>. Begitu juga halnya dengan istilah al-Isla>m al-sunni> atau al-Isla>m al-shi>‘i> yang digunakan oleh orang di luar kumpulan-kumpulan berkenaan; kumpulan-kumpulan itu sendiri tidak mengguna istilah-istilah itu untuk merujuk kepada ugama anutan mereka yang mereka panggil sebagai Islam sahaja. (Tentang istilah-istilah lain yang dikatakan oleh Zuhdi, agak sukar untuk melihat penggunaannya). Oleh itu apabila satu kumpulan orang Islam menamakan Islam yang mereka kehendaki sebagai Islam Hadhari, banyaklah kekecohan dan kekeliruan yang timbul, lebih-lebih lagi apabila motif disebaliknya bersifat politik pilihanaraya. Sebagai ugama yang diakui umum begitu sempurna, lengkap dan menyeluruh, apakah tidak cukup dengan nama Islam yang diakui oleh Allah dalam al-Qur’an (An:19, 85; al-Ma>’dah:3) sehingga kita terpaksa menambah adjektif hadhari yang berbentuk nisbah kepada Islam untuk menjadikannya lengkap seperti yang kita fahami? Kalau seperti yang didakwa kemudiannya bahawa hadhari bukanlah adjektif kepada Islam, tetapi kepada pendekatan (manhaj) atau pemikiran (fikr) yang dibuang (mahdhu>f), kenapa istilah manhaj atau fikr hadhari ini tidak digunapakai dari awal lagi supaya tidak timbul sebarang kekeliruan. Kenapa tidak digunapakai istilah Pendekatan atau Pemikiran Hadhari dalam Islam, atau dalam bahasa Arabnya al-manhaj al-hadari fi al-Islam dan dalam bahasa Inggerisnya Civilizaional approach to Islam? Nampaknya kekeliruan ini sengaja dikekalkan, terutama berhadapan dengan Dunia Arab yang merasa tidak senang dengan istilah Islam Hadhari itu, sehingga tema Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar pun di berikan dalam bahasa Arab sebagai al-manhaj al-isla>mi> al-h}ad}a>ri> yang membolehkan difahami bahawa al-h}ad}a>ri> itu adalah adjektif bagi al-manhaj, sedangkan dalam bahasa Melayu ia di berikan sebagai Pendekatan Islam Hadhari yang masih boleh dipertikaikan maksudnya dan dalam bahasa Inggeris di terjemahkan sebagai The Approach to Islam Hadhari yang jelas sekali tidak bermaksud bahawa hadhari adalah adjektif kepada approach (manhaj - pendekatan), tetapi sebaliknya kepada Islam.

Sekiranya yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ialah pendekatan atau pemikiran hadhari seperti yang didakwa, apakah benar Pendekatan atau Pemikiran Hadahari ini merupakan pendekatan yang paling unggul dan menyeluruh bagi mengatasi masaalah ummat Islam, seperti yang disarankan oleh ahli-ahli penal pada Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar, terutamanya Zuhdi dan Prof. Datuk Dr Abdul Shukur Haji Husain, Naib Camselor USIM? Jawapan kepada pertanyaan ini berkisar pada pengertian perkataan hadhari. Selain daripada Abdul Hamid yang menyatakan bahawa istilah hadhari ini berasal daripada perkataan Arab hadir yang dikatakannya bermaksud keperluan semasa, hampir seluruh pendokong Islam Hadhari yang lain mengaitkan istilah ini dengan perkataan Arab h}ad}a>rah yang diertikan sebagai tamadun dalam bahasa Melayu (asalnya masih bahasa Arab) atau civilization dalam bahasa Inggeris. Apakah maksud sebenar perkataan h}ad}a>rah dalam bahasa Arab yang daripadanya diambil perkatan hadhari itu? Abdul Shukur dalam kertaskerjanya yang berjudul M‘a>lim manhaj al-isla>m al-h}ad}a>ri>: Ma>li>ziya> namu>zajan (perhatikan perbezaannya dengan tema Multaqa, al-Manhaj al-isla>m> al-h}ad}a>ri>. Pada mulanya judul kertaskerja Abdul Shukur yang dijadual akan dibentang dalam Multaqa, seeperti yang tersenarai dalam Buku Acara ialah al-tuta>th al-isla>mi> bayn al-tajdi>d wa al-inghila>q atau dalam bahasa Melayu berbunyi Warisan Islam: di antara pembaharuan dan kejumjudan/konservatif) cuba memberikan pengertian perkataan h}ad}a>rah ini dengan merujuk kepada beberapa definisi yang dibuat oleh penulis-penulis Arab. Selain daripada menyatakan ketiadaan kata sepakat di kalangan mereka tentang istilah tersebut, Abdul Shukur gagal memberikan pengertian h}ad}a>rah yang dikehendakinya. Tanpa pengertian yang jelas dan konkrit, maksud Islam Hadhari atau Pendekatan/Pemikiran Hadhari tinggal kabur dan mengelirukan. Menterjemahnya sebagai tamadun atau civilization tidak menyelesaikan masaalah, kerana perkataan tamadun dan civilization sendiri memerlukan penjelasan.

Oleh kerana hadhari berasal daripada h}ad}a>rah dalam bahasa Arab, elok rasanya kalau kita teliti pemakaian perkataan ini sebagai satu istilah, bukan dari segi bahasa semata-mata. Untuk tujuan tersebut rasanya memadai kalau kita merujukkan kepada Muqaddimah, karya Ibn Khaldu>n, sarjana Muslim ulung dan orang yang pertama menggunakan istilah h}ad}a>rah ini. Ketika membincang pertukaran sebuah negara daripada bada>wah kepada h}ad}a>rah, Ibn Khaldun menjelaskan bahawa h}ad}a>rah berkait rapat dengan kemewahan (al-tarafal-rifh) dalam kehidupan sesuatu masyarakat yang membolehkan mereka mempelbagai dan meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, perabut, adat istiadat, alat senjata, seni budaya dan seumpamanya. Ibn Khaldu>n seterusnya telah memberikan contoh-contoh yang jelas tentang h}ad}a>rah yang dicapai oleh orang Islam dalam sejarahnya seperti yang dapat dilihat dalam majlis perkahwinan Khalifah al-Ma’mun dengan Buran, puteri al-Hasan ibn Sahl, Menteri Kewangan Daulah ‘Abbasiyyah pada masa itu. Menurut Ibn Khaldun, h}ad}a>rah adalah hasil daripada kemewahan, kemewahan berpunca daripada kekayaan dan kekayaan pula datang daripada kekuasaan. Dalam kata lain, h}ad}a>rah ialah kemajuan yang dicapai oleh sesuatu masyarkat dalam aspek kebendaan hasil daripada kemewahan yang mereka perolehi dalam kehidupan mereka berpunca daripada kekayaan yang melimpah ruah.

Berdasarkan pandangan Ibn Khaldun ini, Islam Hadhari atau Manhaj Hadhari yang digembar-gemburkan oleh UMNO serta BN sejak 2003 dan cuba diketengahkan semula melalui Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar baru-baru ini, tidak lebih daripada satu pendekataan terhadap Islam yang bersifat kebendaan semata-mata. Ini lebih jelas lagi kalau kita mendengar ucapan Nakhaie pada sesi pertama Multaqa tersebut yang menekankan betapa pentingnya “ilmu yang kuat” atau apa yang dipanggilnya “strong knowledge” dalam mencapai gagasan Islam Hadhari ini. Ilmu ini ialah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sains dan teknologi yang membolehkan kita menyaingi kuasa-kuasa besar dunia. Begitu juga pendekatan kebendaan Islam Hadhari ini jelas dalam wawancara Dewan Masyarakat (2005) dengan Abdul Hamid Othman yang menekankan betapa perlunya negara di bawah dasar Islam Hadhari menyediakan makanan yang cukup dan membina kekuatan ekonomi dan teknologi. Ini tergambar dengan jelas dalam apa yang dinamakan sebagai 10 prinsip asas Islam Hadhari, yang 5 daripadanya menekankan aspek kebendaan: penguasaan ilmu pengetahun (baca sains dan teknologi), pembangunan ekonomi, kehidupan berkualiti (baca kemewahan), pemuliharaan alam tabii dan kekuatan pertahanan. Prinsip-prinsip lainnya tidak lebih daripada hiasan semata-maata untuk mengelabui mata. Kemuncak pendekatan kebendaan ini telah diolah dengan baik sekali oleh Abdul Shukur Husain dalam kertaskerja yang dibentangnya pada Multaqa, apabila beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ialah satu pandangan Islam yang berpusat pada aspek-aspek tamadun dan pembangunan serta pembinaan h}ad}a>rah. Dan h}ad}a>rah, seperti difahami daripada keterangan Ibn Khaldun, tidak lebih daripada kemajuan dalam aspek kebendaan semata-mata.

Demikianlah cerita Islam Hadhari dalam Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008. Tidak ada kertaskerja daripada peserta luar negara yang menyentuh tentang Islam Hadhari dibentangkan. Yang ada membincang gagasan tersebut hanyalah kertas-kertas sampingan dan kertaskerja yang bertukar judulnya, yang semuanya ditulis oleh penulis-penulis tempaatan yang sudah terkenal sebagai juara dan pendokong Islam Hadhari. Sungguh pun begitu, oleh kerana Multaqa ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan memakan belanja kira-kira lima juta, maka tidak hairanlah kalau resolusi yang dibaca pada akhir Multaqa (yang sebenarnya resolusi berkenaan Islam Hadhari telah disiapkan lama sebelum bermulanya Multaqa) menekankan peri pentingnya gagasan Islam Hadhari bagi ummat Islam bukan sahaja di Malaysia tapi juga di seluruh dunia. Hal ini seolah-seolah menjadikan Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad (S.A.S) sebagai tidak relevan, sedangkan Islam Hadhari yang dicanangkan sebenarnya tidak lebih daripada satu cebisan daripada ajaran Islam yang berkaitan dengan kebendaan sahaja, dan bukan mencerminkan Islam yang menyeluruh.

Tiada ulasan: